Kelmarin, seluruh rakyat di Malaysia dapat melihat suatu peristiwa fenomena alam iaitu gerhana matahari. Peristiwa yang kali terakhir dapat dilihat pada 1998 itu berlangsung antara pukul 4.30 petang hingga 7.00 malam. Sesungguhnya fenomena gerhana matahari tersebut bukan terjadi secara semulajadi atau atas faktor-faktor tertentu tetapi semuanya itu merupakan suatu percaturan Allah SWT dan sebagai sebahagian tanda-tanda bukti kekuasaan dan kebesaran Ilahi.
Firman Allah SWT yang termaktub dalam surah Yasin berbunyi (maksudnya):
Dan (suatu keterangan bagi mereka) matahari, ia beredar di atas paksinya sendiri. Itulah takdir Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui * Dan bulan Kami aturkan perjalanannya pada beberapa tempat sehingga ia kembali (kecil seperti sabit) * Matahari tidak mengejar (mendahului) bulan dan malam tidak mendahului siang, masing-masing beredar pada falaknya (tempat peredarannya) * (ayat 38-40)
Berdasarkan bicara Allah di atas, memberi suatu pengertian sesungguhnya semua ciptaan yang berada di cakerawala sentiasa mengikut ketetapan yang telah Allah aturkan ke atas mereka. Matahari dan bulan beredar di atas paksinya mengikut ketetapan masing-masing..planet-planet bergerak tanpa bertembung antara satu sama lain..peredaran siang dan malam silih berganti, semuanya berlaku di bawah perancangan Allah SWT.
Tidak pernah terjadi dalam sejarah, matahari tidak mahu keluar di siang hari, bulan tidak mahu menunjukkan dirinya pada waktu malam atau ciptaan di cakerawala bergerak berlawanan arah. Jika berlaku, sudah pasti ia mendatangkan kesan yang dasyat kepada seluruh penduduk bumi dan seluruh alam raya. Namun, mereka senantiasa tunduk dan patuh serta memberi taat setia sepenuhnya kepada Allah SWT. Maka tidak hairanlah, Allah SWT bersumpah atas nama mereka sebagai menunjukkan kepada manusia bahawa mereka tidak pernah sekalipun ingkar dengan perintah Allah berbanding apa yang telah manusia lakukan (seperti yang telah dirakamkan dalam surah As-Syam)
Kita dianugerahkan akal fikiran, bersama dengan jasad dan roh, dikurniakan nikmat kehidupan di atas muka bumi penuh dengan kemudahan yang disediakan Allah. Akan tetapi kita yang bernama manusia jugalah makhluk yang seringkali ingkar dengan perintahNya dan selalu melakukan kerosakan di atas muka bumi...kita mengaku kita Islam, tetapi kita semakin hari semakin berani melakukan segala larangan Allah secara terang-terangan seperti minum arak, berzina, membunuh, memberi dan menerima rasuah, mengamalkan sistem riba tanpa rasa malu dan takut dengan Allah SWT. Segala peringatan Allah seperti kejadian tsunami, tanah runtuh dan sebagainya hanya memberi keinsafan sementara kepada kita. Setelah reda, kita kembali menjadi manusia yang semakin jauh dengan rahmat Allah SWT.
Justeru, signifikan kejadian gerhana matahari atau bulan ini ingin menunjukkan kepada kita bahawa Allah SWT Maha Besar dan Maha berkuasa atas segala yang dikehendakiNya. Apabila berlaku fenomena gerhana ini, kita disunatkan untuk solat sunat gerhana dan antara kaifiyat solat gerhana ialah pada setiap rakaat akan berlaku dua kali rukuk sebagai simbol agar kita sentiasa tunduk pada kebesaran Allah SWT. Selain itu, bila berlakunya gerhana kita digalakkan banyak beristighfar dan memohon keampunan kepada Allah selagi masih diberi kesempatan kerana jika kita ingin bertaubat di kala matahari sudah terbit di sebelah barat, pada ketika itu tidak akan bernilai lagi taubat kita di sisi Allah SWT.
Marilah kita sama-sama meningkatkan amal ibadah dan kebaikan kita sehari-hari. Malulah kita pada matahari dan ciptaan Allah yang lain andaikata kita yang sebaik-baik ciptaan ini, kita jugalah ciptaan Allah yang menduduki ranking pertama makhluk yang ingkar dengan Allah bahkan berani untuk melawan dan mencabar Allah SWT...Wahai Tuhan, sesungguhnya kami menzalimi diri kami sendiri maka ampunilah kami ya Allah kerana sesuangguhnya tiada siapa pun yang boleh mengampuni dosa kami melainkan Engkau...perkenankanlah!!
0 ulasan:
Catat Ulasan