BISMILLAHI WALHAMDULILLAH…Minggu lepas arechik, sis Dyna dan Nick (adik peserta Dynamic Summer Camp) telah pergi ke Karnival Silaturrahim dan Ekspo Perdagangan (KASEP) yang bertempat di Stadium Mini Pendang, Kedah. Kami ke sana sebab nak tengok konsert nasyid yang diadakan pada sebelah malamnya. Artis nasyid yang membuat persembahan pada malam tu terdiri daripada Kumpulan Rabbani, In Team dan Far East.
Persembahan nasyid pada malam tu sangat memuaskan hati. Nasyid yang dinyanyikan sedap didengar. Ditambah dengan suara yang merdu, lagilah mantap (segala puji bagi Tuhan yang mengurniakan suara yang sedap buat mereka). Dan yang paling penting semua nasyid tu mempunyai mesej yang sangat baik dan berguna..Antara banyak-banyak nasyid yang didendangkan, paling menyentuh hati arechik ialah nasyid lama Nadamurni yang dinyanyikan semula oleh Rabbani bertajuk “Mana Milik Kita”..Antara bait lirik dia kalau tak silap arechik lah lebih kurang macam ni :
Mana milik kita,
Tidak ada milik kita,
Yang ada hanyalah Allah yang punya,
Tidak ada milik kita,
Kita hanya mengusahakan saja ...
......
Ehm, setakat tu ja yang ingat...Walaupun lirik keseluruhan nasyid tu nampak biasa tapi ada ’ruh’..Mengingatkan apa yang kita miliki sekarang hanyalah berupa pinjaman sementara dari Allah..anggota tubuh badan, wang ringgit, harta benda, ilmu dan lain-lain semuanya milik Allah..Allah bagi pinjam sekejap ja pada kita untuk melihat adakah kita akan menjaga dan menguruskan harta pinjaman ni dengan sebaik-baiknya.Dalam erti kata yang lain menggunakan pinjaman Allah selaras dengan kehendakNya.
Dua hari selepas tu arechik dan sis Dyna pergi pula ke Karnival Islam Annajah yang diadakan di perkarangan Masjid An-Najah Padang Serai, Kulim (amboi jalan sakan nampak, maklumlah anak-anak semua pegi bercuti ke KL). Malam tu ada ceramah Muhibbah yang disampaikan oleh Ustaz Naim Islam dan Ustaz Ann Wan Seng (AWS). Tapi last minute Ustaz AWS tak dapat datang sebab terperangkap dengan kesesakan atas jambatan Pulau Pinang (sebab orang berpusu-pusu nak ke Pesta Pulau Pinang)..Mudah-mudahan tercatat pahala untuk Ustaz AWS atas niatnya untuk menghadiri majlis malam tu..
Ustaz Naim Islam banyak menceritakan tentang kisah beliau sewaktu mula Islam, cabaran dan salah faham yang berlaku antara golongan orang Islam dan orang belum Islam.Cuma dalam banyak-banyak isi ceramah beliau, arechik tertarik dengan ungkapan beliau yang menyatakan tubuh badan yang Allah berikan ini bukan milik kita tapi milik Allah. Hujahnya mudah, kalau tubuh badan ni milik kita sudah tentu kita tidak jadikan ’kematian’ untuk diri kita. Sebaliknya bila tubuh ini milik Allah, kematian dijadikan kerana Allah ingin mengambil semula hak milikNya.
ALLAHU AKBAR...kerdil sangat kita depan Allah. Apa yang kita megah selama ini; rupa dan kecantikan, ilmu dan kepandaian, wang ringgit dan kekayaan serta segala-galanya, semuanya milik Allah bukan milik kita..Atas sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim, Dia berikan pada kita..Dia nak melihat bagaimana kita menggunakan pemberian sementara itu..bersyukur atau sebaliknya..untuk kebaikan atau keburukan..ke arah redha atau murkaNya.
Marilah kita bermuhasabah dan menginsafi diri..Jangan biarkan barang pinjaman yang kita dapat dicemari dan dikotori sehingga menimbulkan kemarahan dan kemurkaan Tuan yang memberi pinjaman..Gunakanlah anggota tubuh badan yang diberikan dengan melakukan suruhan dan meninggalkan laranganNya; ilmu dan kepandaian dikongsi dan dicurahkan bersama orang lain; wang ringgit dan kekayaan disedekahkan, dihadiahkan dizakatkan dan dimanfaatkan untuk pembangunan Islam serta umatnya..mudah-mudahan sewaktu Tuhan mengambil hakNya semula, Dia gembira dan sudi menghadiahkan ganjaran syurga atas apa yang telah kita lakukan.
Rabu, Disember 24, 2008
Bukan Milik Kita
Nukilan oleh @RECHIK pada 10:01 PG
Kategori: Coretan Peribadi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan