? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Isnin, Oktober 12, 2009

SELAMAT ULANGTAHUN KELAHIRAN SAYANG

Nyenyak tidur pada pagi 11 Oktober 2006 terganggu apabila arechik dikejutkan oleh sis Dyna. Ingatkan disuruh untuk bangun bersahur tetapi sis Dyna memberitahu yang dia rasa sudah sampai masa untuk bawanya ke hospital. Selepas mencuci muka, arechik terus mencapai sebuah beg yang sudah diisi sedikit barang keperluan. Ketika menuju ke hospital, tangan sis digenggam erat. “Boleh tahan lagi ka?” . Sambil senyum sis menjawab “Jangan risau, boleh lagi. Cuma rasa sakit macam dah sampai masanya.”

Selepas daftar masuk, arechik menanti di ruang menunggu. Tidak kurang sepuluh orang turut berada di situ. Kebanyakan darinya kelihatan tidur-tidur ayam (mungkin faktor tempat yang kurang selesa). Jam di tangan menunjukkan pukul 4.30 pagi. Dalam keadaan masih lagi ‘mamai’, arechik ditegur oleh seorang makcik.

“Anak sulung ke?”.. “Tak, masuk yang ketiga..makcik pulak sedang tunggu siapa?” tanya acik membalas. “Anak makcik. Suaminya takdak, kerja kat Kuala Lumpur. Pagi ni baru bertolak balik ke sini.”.. “Oo, cucu sulung ke?” tanya arechik lagi.. “Ya, cucu sulung. Depa kahwin tahun lepas” balas makcik berusia sekitar umur 50-an berserta riak gembira tak sabar nak menimang cucu sulung.

Lebih kurang setengah jam berborak dengan makcik tersebut, arechik mengajak makcik tersebut untuk bersahur bersama tetapi beliau menolak dengan sebab dah ada makanan bersahur. Terdapat beberapa gerai yang menjual makanan di sekitar hospital tu. Agak meriah jugalah tetapi bila ditinjau makanan yang dijual ‘tak masuk’ dengan selera arechik. Akhirnya arechik ambil keputusan untuk bersahur dengan roti telur dan milo panas saja.

Usai solat subuh, arechik menghabiskan masa dengan berzikir sambil berdoa agar sis Dyna dipermudahkan untuk bersalin. Lebih kurang pukul 7.30 pagi, terdengar pengumuman mencari waris sis Dyna. Bergegas masuk ke dalam wad dengan harapan sis Dyna dah selamat bersalin, tetapi arechik dimaklumkan bahawa sis Dyna tak dapat melahirkan anak secara normal. Dia terpaksa dibedah memandangkan kedudukan kepala bayi dalam kandungan yang mendongak tinggi.

Sekali lagi menanti penuh debar dan doa mengharapkan proses kelahiran berjalan dengan lancar. Segala Puji bagi Allah, dalam pukul 9 lebih, sis Dyna selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang comel macam umminya (hehehe)..Selepas diazan dan diiqamahkan, bayi dan sis dibawa masuk ke wad. Alhamdulillah semuanya dah selamat. Ketika mengiringi sis Dyna masuk ke wad, arechik berjumpa dengan makcik tadi. Dia pun nampak gembira. “Boleh cucu perempuan” katanya.. “Saya pun dapat anak perempuan jugak” jawab arechik. Kami gembira dan bersyukur.

Cepat masa berlalu. 11 Oktober 2009, genap 3 tahun umur Nur Wafrah Batrisyia. Semakin hari ada saja gelagat dan keletah dia yang mencuit hati arechik dan sis. Mudah-mudahan dia menjadi seorang anak yang solehah dan muslimah bertaqwa..Ya Allah berilah kekuatan pada diriku dan isteriku untuk mendidiknya menjadi insan pilihan di sisiMu.

Sabtu, Oktober 03, 2009

AKU TERIMA NIKAHNYA..

“AKU TERIMA NIKAHNYA RAIHAN ROSDINA BINTI AHMAD DENGAN MAS KAHWINNYA TIGA RIBU RINGGIT TUNAIII” lafaz keramat itu telah diucapkan pada hari Jumaat tanggal 13 Syawal 1422h bersamaan 28 Disember 2001 pukul 10.30 pagi bertempat di Masjid Rafeah Taman Uda Alor Setar. Ketika usia baru 19 tahun, arechik telah mengambil suatu keputusan untuk menambah satu lagi tanggungjawab yang besar iaitu sebagai seorang suami. Di kala sahabat-sahabat yang lain masih dihayun buai remaja, arechik menginsafi amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul. Terima kasih ya Allah kerana mempermudahkan segala urusan, cabaran, ujian dan rintangan sepanjang memegang gelaran seorang suami.

Namun tanggungjawab memandu sebuah kapal terbang tidak sempurna jika tidak dibantu oleh seorang co-pilot dan alhamdulillah arechik dikurniakan seorang pembantu yang hebat. Bermula kehidupan berdua, arechik bersyukur, bertuah dan beruntung kerana mengenali dan memiliki seorang wanita yang sangat penyayang, tabah, sabar, memahami dan menerima seadanya apa yang sekadar mampu disediakan. Dibina mahligai dalam serba kekurangan, beliau mencantikkannya dengan perhiasan bahagia. Inilah dikatakan sebagai MAWADDAH dan RAHMAH yang dicurahkan Allah dalam sebuah perkahwinan.

Kelmarin, 13 Syawal datang lagi. Kali ini lebih bermakna ia datang bersama pada hari Jumaat. Alhamdulillah memasuki tahun kelapan ikatan kasih dan sayang terbina antara arechik dan Sis Dyna. Sepanjang lapan tahun bersama, pelbagai corak dan warna hidup telah menghiasi kehidupan kami suami isteri. Tambahan dari itu Allah ganjarkan tiga permata berharga sebagai penyejuk mata kami di samping ia suatu amanah yang perlu dijaga dan digilap agar kekal bernilai di sisi Allah SWT. Muhammad Nur Aqmar (6 tahun), Muhammad Nuaim Ulwan (5 tahun) dan Nur Wafrah Batrisyia (3 tahun) dihadiahkan Allah dalam keadaan fitrah, harapnya arechik dan sis Dyna mampu mencorakkan mereka mengikut acuan yang Allah kehendaki insyaAllah.

Arechik berdoa agar kebahagiaan ini terus berkekalan hingga ke akhir hayat dan segala cabaran serta ujian mendatang ketika melayari kebahagiaan ini dapat dihadapi dengan tenang dan penuh pengharapan dari Allah SWT.